Jurema Creations Oriental Art Affair - Kuala Lumpur, Malaysia
   
     
 

Kulit kayu, daun hiasan unik

Harian Metro: Kuala Lumpur May 27, 2003

By Rahayu Mohd Salleh

TIDAK ramai pedulikan pelepah kelapa yang sudah layu dan kering, justeru ia dibiarkan reput atau sekadar dijadikan bahan bakar.

Namun dengan kreativiti tersendiri, wanita kelahiran Brazil, Jurema Walendowsky Baker, berjaya menjadikannya bahan hiasan yang cukup unik dan menawan.
Malah, melihat koleksi pelbagai bahagian pokok kelapa yang sudah dipulihara itu, memang tidak disangka bahan yang selama ini cuma dibuang berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai produk komersial.

"Bahan yang sering dibuang daripada tumbuh-tumbuhan misalnya pelepah kelapa, tempurung dan seumpamanya banyak kegunaan jika kita mengambil inisiatif untuk menghargai bahan sedemikian.

"Bagi diri saya, sejak kecil lagi memang sudah berminat pada pokok. Saya gemar melihat daun yang terliuk-liuk ditiup angin, apatah lagi ayah saya memang mendorong kami untuk menghargai keindahan dan kehijauan alam semula jadi," katanya.

Namanya sendiri, Jurema, sudah digunakan di Brazil berkurun lamanya untuk menggambarkan sejenis pokok yang dianggap suci yang didapati di kawasan hutan tropika, manakala kulit kayunya antara lain digunakan untuk merawat penyakit.

Jurema yang menetap di negara ini sejak tiga tahun lalu berkata, keadaan alam semula jadi di Brazil tidak jauh berbeza dengan negara ini yang sama- sama tergolong dalam negara berhawa tropika.

Justeru, beliau bukan saja selesa berada di Malaysia, malah berpeluang menemui pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan khusus pokok kelapa yang mampu dipulihara.
Daripada koleksi bahan semula jadi yang dipuliharanya di Badan Warisan Malaysia itu, bahan digunakan Jurema antara lain termasuk pelepah kelapa, tempurung kelapa, petai, bunga teratai, manggis dan pelbagai jenis daun.

Bahan berkenaan, katanya, dikeringkan terlebih dulu sebelum dibersihkan menggunakan kertas pasir bagi membuatkannya kelihatan licin. Dalam proses berkenaan, sebahagian minyak semula jadi yang ada pada bahan terbabit turut dibuang.
Ia kemudian dipotong mengikut bentuk dikehendaki sebelum campuran bahan kimia digunakan termasuk varnis khas.

"Paling kurang, lazimnya saya menyapu enam lapisan varnis manakala proses pemuliharaan untuk setiap bahan itu memakan masa kira-kira seminggu, bergantung kepada saiz dan kerumitan proses terbabit," katanya.
Jurema sendiri sebenarnya bukan baru dalam tugas sedemikian malah sudah lebih 20 tahun beliau terbabit dalam bidang pemuliharaan bahan antik.
Namun, sejak hampir tiga tahun lalu, wanita lulusan Universiti London dalam bidang kesenian Islam dan Cina ini mulai mengetengahkan hasil kerjanya yang mahu dikenali sebagai produk keluaran tempatan.

"Saya menganggapnya sebagai produk Malaysia kerana saya mendapatkan bahan semula jadi di negara ini malah segala proses pemuliharaan juga dilakukan di sini.
"Malah, ia sesuatu yang istimewa kerana bahan terbuang daripada alam semula jadi itu mampu bertahan cukup lama sekali gus menjadi tatapan mereka yang kurang mengenali hasil tumbuh-tumbuhan sedemikian serta warisan untuk generasi akan datang," katanya.
Setakat ini, beliau hanya mengusahakan bahan hiasan itu secara kecil- kecilan berikutan proses menyempurnakannya memakan masa yang agak lama.